bengkak di pipi sehingga ke bahagian rahang yang dikenali sebagai penyakit beguk boleh membuatkan penghidapnya berasa malu. Beguk yang juga dikenali sebagai parotitis epidemik menyebabkan bengkak pada kelenjar air liur terutamanya di bahagian hadapan dan bawah telinga.
Namun, kita jangan
keliru dengan masalah kelenjar parotid yang nampak seperti beguk, kerana ia
juga boleh membengkak atau mengalami keradangan disebabkan faktor lain.
Menurut Pensyarah Kanan
dan Pakar Otorinolaringologi, Universiti Sains Malaysia, Kota Bahru, Kelantan,
Dr. Irfan Mohamad, beguk berpunca daripada jangkitan paramiksovirus.
Virus itu boleh
berjangkit secara langsung melalui batuk, bersin atau melalui mata, hidung
serta mulut. Perkongsian makanan dan
minuman atau bekasnya dengan penghidapnya menyebabkan berlaku transmisi kerana terdapat
percampuran air liur.
Tambahnya, beguk
merupakan penyakit yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak sebelum era
vaksinasi.
Sekiranya ia berlaku
pada orang dewasa, komplikasinya mungkin lebih teruk seperti radang testis yang
boleh menyebabkan kemandulan. Kadar komplikasinya juga akan meningkat seiring
pertambahan usia si penghidap dan jika tidak dirawat secara intensif, jangkitan
bakteria akan mengakibatkan berlakunya pengumpulan nanah dalam kelenjar.
Contohnya, kanak-kanak mungkin sembuh sepenuhnya tanpa sebarang kesan susulan,
tetapi bagi seorang lelaki dewasa yang menghidap beguk, ia mungkin berakhir
dengan kemandulan.
Salah satu komplikasi
parotitis viral ini ialah ia merebak ke organ lain. Antara organ yang sering dijangkiti ialah
sistem pembiakan lelaki dan wanita. Jangkitan
pada testis akan menyebabkan orkitis manakala jangkitan pada ovari mencetuskan
ooforitis. Dalam sesetengah kes,
jangkitan pada organ itu akan meningkatkan risiko kemandulan.
Jangkitan lain ialah meningitis
(radang selaput otak), pankretitis (radang pankreas),
hilang pendengaran jenis sensorineural (akibat kerosakan saraf), dan keguguran
janin walaupun jumlahnya kecil. Tanda-tanda spesifik penghidap penyakit beguk
ialah sakit dan bengkak pada kawasan kelenjar parotid malah ia boleh bertambah
bengkak jika berlaku aktiviti mengunyah.
Mengambil makanan yang
masam akan menggalakkan sekresi air liur dari kelenjar tersebut lantas
meningkatkan rasa sakit kerana kelenjar dipaksa bekerja sedangkan ia mengalami
keradangan. Selain itu, terdapat tanda-tanda umum seperti demam dan sakit
kepala, muntah, di samping simptom jangkitan saluran pernafasan seperti sakit
tekak, kering mulut dan sakit telinga.
Pencegahan terbaik
adalah dengan mendapatkan suntikan vaksin beguk, demam campak dan rubela yang
dikenali sebagai MMR. Suntikan itu perlu diberikan kepada kanak-kanak. Ia juga
telah dimasukkan ke dalam jadual imunisasi di Malaysia.
Rawatan spesifik
Ibu bapa harus
memastikan anak-anak mereka mendapat imunisasi yang secukupnya termasuklah
vaksin mencegah beguk. Suntikan itu diberikan kepada bayi berumur sekitar 12
bulan. Terdapat beberapa pihak yang berpendapat, penggunaan garam, gula dan
nila dapat mengubat penyakit beguk.
Tiada penyelidikan
saintifik dilakukan untuk mengesahkan keberkesanan pengubatan penyakit beguk
dengan pengambilan bahan-bahan tersebut, namun, mungkin bahan tersebut
memberikan sedikit kelegaan sama seperti air batu yang bersifat menyejukkan.
Nila mungkin memberikan
kesan penyejukan terutamanya dari sudut psikologi.
Beguk berpunca daripada
jangkitan virus. Justeru, rawatan yang
diberikan adalah dengan mengambilan ubat tahan sakit dan mengurangkan demam.Jika
komplikasi berlaku sehingga merebak ke organ lain, rawatan tambahan yang
spesifik perlu dilakukan ke atas pesakit.
Tiada rawatan spesifik
setelah seseorang itu dijangkiti beguk. Rawatan yang diberikan hanyalah
berbentuk sokongan atau rawatan terhadap komplikasi yang timbul akibat
jangkitan itu. Imunisasi MMR merupakan kaedah pencegahan yang terbaik setakat
ini kerana suntikan itu telah diberikan kepada bayi yang berumur sekitar
setahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan