Pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan kadang-kala tertanya-tanya sama ada mereka adalah calon yang sesuai untuk rawatan IVF. Terdapat persepsi umum yang negatif di kalangan segelintir masyarakat kita terhadap rawatan IVF. Tanggapan sedemikian mungkin kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan atau kurang mendapat pendedahan kepada rawatan IVF dan membuat andaian mereka tersendiri ataupun terpengaruh dengan pendapat orang sekeliling yang juga tidak arif.
Semenjak diperkenalkan dalam tahun 1978 dengan kelahiran bayi tabung uji yang pertama iaitu Louis Brown di United Kingdom, lebih dari 5 juta bayi seluruh dunia telah berjaya dilahirkan melalui rawatan IVF. Dengan teknologi yang terbaru dari segi makmal dan teknik pembekuan embrio, kejayaan IVF juga telah meningkat pada beberapa tahun kebelakangan ini. Ini memberikan harapan baru dan peluang tinggi kepada pasangan-pasangan yang mempunyai masalah kesuburan untuk membina keluarga dari baka mereka sendiri.
Siapakah yang merupakan calon untuk rawatan IVF:
- Wanita yang mempunyai kedua-dua belah saluran peranakannya yang tersumbat
- Wanita yang berumur lebih dari 35 tahun dan sudah mengalami masalah kemandulan lebih dari 5 tahun
- Pasangan yang menghidapi masalah ‘unexplained infertility’
- Lelaki yang menghidapi masalah sperma yang teruk sama ada dari segi bilangan, pergerakan atau kualitinya
- Wanita yang menghidapi masalah endometriosis yang teruk
- Pasangan yang telah menjalani rawatan IUI beberapa kali tetapi masih gagal untuk hamil
Tiada ulasan:
Catat Ulasan